PABM 2012: Siapakah Yang Bakal Menjulang Piala Malam Ini?
PUTRAJAYA – Seramai lapan peserta bakal berentap dalam pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2012 malam ini.
Bagi kategori antarabangsa, mereka yang terpilih ialah Elena Vorobyeva dari Latvia, Sebghatullah Qazizada (Afghanistan), Yota Tamura (Jepun), Marina Makarova (Moldova) dan Polina Matveycheva (Russia).
Kategori nusantara pula, mereka yang layak ialah Fathiah Ibrahim dari Malaysia, Dayangku Mumtazah Pengiran Md Jaafar (Brunei) dan Wahyudi (Indonesia).
Seramai 69 orang peserta dari 67 buah negara antarabangsa dan rantau Asia Tenggara menghantar peserta menyertai PABM 2012.
PABM 2012 akan sampai ke malam kemuncaknya malam ini di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan penaung pertandingan akan hadir merasmikan majlis dan menyampaikan hadiah kepada para peserta yang berjaya.
Ia akan dilangsungkan di Dewan Plenary PICC, Putrajaya.
Secara ringkasnya, Piala Pusingan ini berbentuk tiga belah keris yang tertusuk pada dasarnya dengan ulunya menjulang dunia sebagai simbolik keutuhan dan kekuatan bahasa dan bangsa Melayu dalam memperkembangkannya ke seluruh pelosok dunia.
Piala setinggi 22 inci dengan diameter 6 inci ini diperbuat sepenuhnya daripada perak.
Perak membawa maksud ketinggian dan kedaulatan bahasa Melayu yang menjadi wadah pembangunan tamadun nusantara.
Ia juga membawa maksud kesucian, ketelusan dan keikhlasan akan peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam membawa kepada keamanan dan keharmonian geopolitik dan sosiobudaya sejagat.
Keris – Keris membawa maksud pertuanan dan citra Melayu. Dalam hal ini keris menunjukkan bahasa Melayu merupakan bahasa orang Melayu yang menunjukkan citra orang Melayu sejagat sejak zaman-berzaman.
Tiga belah keris – tiga bilah keris membawa maksud bahasa Melayu telah diperakui sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia oleh tiga kaum terbesar di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India. Mereka sama-sama mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu dalam membentuk bangsa Malaysia yang progresif, dinamik dan berwawasan. Ketiga-tiga kaum yang menunjangi negara Malaysia bersepakat untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia.
Keris tertusuk – membawa maksud orang Melayu selaku penutur dan pemilik bahasa Melayu sentiasa tunduk ke bumi dan tidak sesekali meninggi diri walaupun telah menempuh pelbagai kejayaan. Ia juga membawa maksud perihal jiwa orang Melayu itu yang tetap berpegang kepada peribahasa “di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung” dan “Ikut rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk”
Glob – mewakili dunia. Bahasa Melayu berhasrat menjadi salah satu pemain utama ke arah kesegatan yang lebih aman, selamat dan harmoni. Glob juga mewakili hasrat dan cita-cita Malaysia untuk untuk memperkembangkan bahasa Melayu ke segenap pelosok dunia. Glob ini juga menunjukkan rantau nusantara yang menjadi pusat perkembangan dan penyebaran bahasa Melayu ke seluruh dunia.







![mahathir vs yahudi [ BBC World ] image-445](http://dinetfm.com/wp-content/themes/treeview/lib/styles/images/post-default.jpg)