Mati selepas minum ubat buatan sendiri
Sungai Petani: Seorang wanita berusia 23 tahun mati, dipercayai selepas meminum ubat buatan sendiri bersama teman lelakinya, di Taman Mutiara, di sini malam kelmarin.
Mangsa yang dikatakan sudah bertunang dengan seorang lelaki yang kini berada di Pahang, dikatakan meninggal dunia sebaik tiba di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Sementara itu, teman lelakinya berusia 20 tahun yang turut dihantar ke hospital sama masih dirawat.
Mangsa sempat berbuka puasa bersama ibu di rumah kami di Taman Kempas sebelum keluar untuk berjumpa rakan kira-kira jam 9.30 malam” – Ahli keluarga mangsa
Terdahulu, pasangan terbabit dikatakan ditemui orang awam kira-kira jam 12 malam dalam keadaan tidak bermaya di tepi jalan, sebelum dihantar ke HSAH untuk rawatan.
Sebelum itu, mereka dikatakan mendaftar masuk ke sebuah rumah tumpangan di Taman Mutiara. Berdasarkan maklumat, pasangan terbabit dikatakan meminum ubat yang dicampur minuman berkarbonat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes masih disiasat.
“Buat masa sekarang, kita klasifikasi kes sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan bedah siasat pihak hospital untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, berkata sebelum kejadian mangsa sempat berbuka puasa bersama ibunya di rumah mereka di Taman Kempas, di sini sebelum keluar untuk berjumpa rakan kira-kira jam 9.30 malam.
“Dia beritahu ibunya mahu keluar untuk beli baju raya. Namun, kira-kira jam 1 pagi kami dimaklumkan dia meninggal dunia dan mayatnya berada di hospital,” katanya.






