Malek Noor Sah Bergelar Suami
KOTA BHARU – Dengan sekali lafaz, jaguh bina badan Asia, Datuk Malek Noor sah menjadi suami kepada pakar kanak-kanak, Dr. Wan Asma Wan Ismail pada pagi ini.
Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Wan Asma, Wan Ismail Wan Ahmad, 86, dengan mas kahwin senaskah al-Quran di Penthouse milik pakar kanak-kanak itu yang terletak di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini kira-kira pukul 11 pagi ini.
Ia turut disaksikan kira-kira 100 kenalan serta ahli keluarga terdekat pasangan terbabit sebelum diikuti dengan majlis resepsi yang akan diadakan di Hotel Renaissance pada pukul 8 malam ini.
Pada majlis serba ringkas itu, kedua-kedua mempelai yang memakai baju berwarna putih kelihatan tenang dan berseri-seri dengan Malek membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang hantaran daripada daripada Wan Asma.
Sementara itu, Malek ketika ditemui pemberita selepas majlis akad nikah itu berharap ia adalah perkhawinan pertama dan terakhir buat dirinya.
“Kini saya telah mendapat seorang isteri solehah yang selama ini saya idamkan dan perkahwinan ini diharap akan kekal sehingga akhir hayat,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Asma berkata, buat sementara waktu mereka berdua akan tinggal berasingan sehingga rancangan untuk melakukan sesuatu secara bersama dibuat.
“Saya dan suami akan menguruskan rutin masing-masing di mana dia tetap akan meneruskan tugasnya sebagai pakar kanak-kanak di Hospital Pakar Perdana di sini manakala Malek pula akan menguruskan perniagaanya di Kuala Lumpur,” katanya.
Wan Asma mempunyai tujuh anak berusia antara 11 hingga 30 tahun dan empat orang cucu. Beliau berpisah dengan bekas suaminya pada tahun 2009.







![mahathir vs yahudi [ BBC World ] image-445](http://dinetfm.com/wp-content/themes/treeview/lib/styles/images/post-default.jpg)
